Skandal LCS: Jangan guna alasan keselamatan negara, Wong beritahu Zahid

0
344

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh mengingatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak menggunakan alasan keselamatan negara bagi menghalang pihaknya mendedahkan hasil laporan berkaitan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Wong yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, rakyat tidak boleh disekat daripada mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka.

“Saya tidak pasti apa dimaksudkan beliau yang didapati tidak sensitif apabila PAC yang bipartisan sekadar melaksanakan tanggungjawab kami yang diamanahkan oleh Dewan Rakyat kepada jawatankuasa ini dalam memastikan perbelanjaan wang rakyat adalah terpelihara.

“PAC mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti diperuntukkan bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR) untuk memeriksa segala kira-kira kerajaan termasuk apa-apa perkara lain yang difikirkan patut diperiksa oleh jawatankuasa ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, segala maklumat dinyatakan oleh saksi dalam prosiding PAC akan direkod ke dalam hansard manakala laporan PAC yang dikeluarkan pula berpandukan kepada segala keterangan diberikan semasa prosiding itu.

“Ahmad Zahid selaku bekas menteri pertahanan telah hadir di hadapan PAC pada 25 Okt 2021 bersama Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

“Hansard Ahmad Zahid diserahkan kepada beliau melalui pos berdaftar 4 Januari 2022 berdasarkan PM83(10) PPMMDR dan beliau diberikan tempoh masa tujuh (7) hari untuk membuat sebarang pembetulan pada kenyataan yang diberikan.

“Untuk rekod, Ahmad Zahid tidak membuat sebarang pindaan, pembetulan atau pemotongan terhadap mana-mana maklumat yang diberikan dalam prosiding yang dihadiri,” katanya.

Katanya lagi, dalam prosiding kapal LCS, tidak ada mana-mana saksi yang mengemukakan permohonan bagi meminda keterangan itu sedangkan ia boleh dilakukan jika ada isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara.

“Sekiranya mana-mana hansard yang mempunyai sebarang isu sensitif melibatkan kepentingan keselamatan negara dan dicadangkan untuk pindaan atau pemotongan oleh saksi, PAC akan berbincang sama ada hendak membenarkan permohonan tersebut,” katanya.

Pada Isnin, Ahmad Zahid menyatakan kebimbangannya terhadap pendedahan lebih banyak berhubung projek LCS menjejaskan rahsia keselamatan negara.

Beliau berkata, PAC seharusnya lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here