[VIDEO] Khairuddin dah tak relevan, tak kenang jasa Bersatu – Sanusi

0
452

MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali sebagai “haiwan politik” yang tidak mengenang jasa Bersatu, sebaliknya hanya inginkan Pas memilih UMNO sebagai sekutunya.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, Khairuddin sudah tidak relevan untuk beri komen atau memberi nasihat apa yang patut  Pas lakukan.

 “Dia sudah tak relevan untuk beri komen atau nasihat apa patut PAS buat… haiwan politik saja yang ambil sikap tidak mengenang jasa orang lain,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu yang berkata, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan UMNO, bukan Bersatu yang disifatkan sebagai “parti kecil” dan hanya bergantung kekuatan orang lain.

Malah, Khairuddin yang keluar Pas pada 14 Mac lalu berkata, strategi parti itu meletakkan kerjasama dengan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu kesilapan.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata tindakan Bersatu yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH) untuk bersama Pas dan Umno membentuk kerajaan perlu dihargai kerana berjaya menyelamatkan negara daripada zaman gelap 22 bulan pentadbiran kerajaan liberal pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pas tak selfish (pentingkan diri)…Pas mengenang jasa dan pengorbanan orang. Bersatu keluar PH membolehkan Bersatu bersama dengan UMNO dan Pas ambil alih kerajaan. Dengan ambil alih kerajaan itulah negara dapat diselamatkan daripada 22 bulan zaman gelap bagi Melayu Islam bawah kerajaan liberal dan cauvinist PH yang dikepalai DAP,” katanya lagi.

Sanusi berkata, jika Bersatu mementingkan politik semata-mata, adalah lebih baik parti itu kekal dalam PH.

“Baik dia kekal dalam PH jadi kerajaan, lebih banyak mereka boleh buat untuk bunuh UMNO dan Pas. (Tetapi) kerana mereka juga pentingkan Melayu dan Islam, mereka keluar PH dan bersama UMNO dan Pas. Sebagai manusia waras, bukankah ini sikap yang patut dihargai?,” katanya.

Sanusi turut menempelak Khairuddin dengan menyifatkan segala pandangan bekas pemimpin Pas itu “sudah tidak relevan”, sambil menyifatkan “Khairuddin lebih UMNO daripada sebahagian orang UMNO”.

Khairuddin yang juga bekas menteri perusahaan, perladangan dan komoditi dipecat sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas pada 11 Feb lalu, sebulan selepas beliau digugurkan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) pusat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here