GPS mahu menang semua 31 kerusi PRU-15

0
214

BERBEKALKAN kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini berazam untuk memenangi semua 31 kerusi Parlimen negeri itu dalam penampilan pertamanya pada pilihan raya umum.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata jika semua yang di jangkakan menepati ramalan, tugas untuk memenangi semua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu boleh tercapai.

“Ini adalah pilihan raya pertama bukan seperti sebelum ini kerana GPS akan berdiri sendiri. Yang pertama dulu kita di bawah BN (Barisan Nasional). Ini adalah pilihan raya pertama kami berdiri sendiri (tanpa membuat pakatan dengan parti lain),” katanya pada sidang media, di Kuching hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.

Tiga lagi parti komponen GPS adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang memegang dua kerusi Parlimen; Parti Demokratik Progresif (PDP), juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dengan satu kerusi.

Abang Johari, yang juga Premier Sarawak berkata, beberapa penyandang kerusi daripada PBB sudah meluahkan hasrat mereka untuk tidak dicalonkan lagi pada pilihan raya umum akan datang bagi memberi laluan kepada calon muda.

“Saya akan beritahu anda kemudian siapa mereka. Bilakah (PRU-15), saya sendiri tidak tahu tapi sudah ada hasrat, namun saya tidak mahu mendedahkannya sekarang. Saya ucap terima kasih (kepada pemimpin yang bersedia mengundur diri).

“Dalam PBB, kita ada budaya iaitu mereka (pemimpin) mengundurkan diri untuk memberi peluang kepada orang muda,” katanya.

Beliau berkata, asas perjuangan GPS sejak meninggalkan BN ialah mengembalikan semula hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here