Kastam rampas syabu RM1.88 juta dalam peralatan elektrik

0
288

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dadah sebanyak 52 kilogram (kg) syabu dalam satu operasi ke atas sebuah rumah di Kota Kinabalu pada pukul 12.12 tengah hari Ahad lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, menerusi Operasi Khas Mekong Dragon Siri IV itu, seorang lelaki tempatan, 37, turut ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM1.88 juta.

“Serbuan dibuat hasil maklumat risikan selama dua bulan oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) terhadap aktiviti pembungkusan dadah di sebuah kediaman di daerah tersebut.

“Hasil serbuan menemui bahan terlarang disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat lebih kurang 52.463 kg dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,888,668.

“Dalam serbuan kita menahan seorang lelaki berada di dalam rumah dan sedang melakukan kerja pembungkusan dadah berkenaan. Dadah itu untuk diedarkan di sekitar Sabah dan luar negeri terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Sabahm hari ini.

Zazuli berkata, modus operandi kes itu adalah menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat untuk melakukan proses pembungkusan dadah itu.

“Pembungkusan dilakukan dengan memasukkan dadah ke dalam plastik teh.

“Dadah yang siap dibungkus disembunyikan di dalam peralatan elektrik dapur dan disimpan dalam kotak,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Zazuli berkata, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mengesan individu lain yang terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here