Penilaian laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat bersifat subjektif

0
369

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penilaian Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang yang meletakkan negara pada Tahap 3 adalah bersifat subjektif.

“Penilaian itu juga berpandukan perundangan Amerika Syarikat bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).

“TVPA itu ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa serta pencegahan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan JNAS mengenai Pemerdagangan Orang pada sesi penerangan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Astro Awani.

Hamzah menjelaskan, laporan berkenaan bukan hanya berdasarkan maklumat diperoleh daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan mana-mana pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO).

Selain itu, katanya, laporan itu turut berpandukan pematuhan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen PBB mengenai Jenayah Terancang (UNTOC) dan Protokol PBB mengenai Pemerdagangan Orang (Protokol TIP).

“Apabila Malaysia diletakkan pada Tahap 3, ia boleh memberi kesan kepada negara, selain berkemungkinan menjejaskan beberapa pasaran eksport di luar negara apabila terpalit dengan tuduhan penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan.

“Sebagai contoh, terdapat beberapa syarikat dikenakan Withhold Release Order (WRO) oleh pihak US Customs and Border Protection (CBP).

“Walau bagaimanapun, yang mana dua buah syarikat telah pun ditarik balik sekatan WRO tersebut,” katanya.

Laporan berkenaan adalah penilaian peringkat global dilakukan kerajaan Amerika Syarikat yang mengetengahkan empat tahap, iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3 itu dikeluarkan pada 20 Julai lalu.

Penilaian itu dilakukan ke atas 188 negara dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan, pencegahan serta perlindungan dengan Malaysia dinilai pada Tahap 3, tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here