Jangan diskriminasi guru Kafa yang cuti bersalin, tegas NOW

0
301

GURU Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang cuti bersalin harus dibayar elaun seperti biasa dan tidak seharusnya didiskriminasi, tegas Presiden Nation of Women (NOW), Haniza Talha Mohamed.

Malah katanya, isu perjawatan guru Kafa harus segera diselesaikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kewangan, bagi membolehkan golongan itu mendapat hak dan kebajikan sepatutnya, sepertimana pendidik lain di negara ini.

“Kementerian Kewangan dan Jakim perlu segera menyelesaikan isu perjawatan supaya guru-guru Kafa mendapat hak mereka dan pihak majikan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hemah dan bijaksana.

“Malah menteri kewangan juga boleh menggunakan kuasanya meluluskan pemberian elaun kepada guru-guru Kafa yang ada isu perjawatan atas alasan menjaga kebajikan guru,” katanya kepada FMT.

FMT sebelum ini melaporkan keluh-kesah guru Kafa yang berdepan elaun bulanan disekat bagi mereka yang cuti bersalin, akibat isu perjawatan.

Mereka yang enggan dinamakan kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak atasan memberitahu, elaun mereka terlalu kecil dibandingkan dengan pendidik lain tetapi dikhabarkan bakal disekat ekoran isu perjawatan.

Ujar mereka, guru yang bersalin memerlukan wang untuk membeli keperluan bayi dan diri sendiri justeru pihak atasan diharap menimbang semula sekatan tersebut.

Haniza berkata sudah tiba masanya guru Kafa diberikan kedudukan yang sewajarnya sementelah mereka memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan.

“Mereka golongan pendidik yang mendidik generasi baru dan akan datang supaya menjadi insan berguna dan bertanggungjawab. Tugas yang mulia dan sangat berat,” katanya.

Jakim terdahulu mengumumkan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kafa seperti yang diumumkan Januari lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here