UiTM tidak rekod perubahan ketara bilangan mahasiswa gagal tamat pengajian

0
813

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) tidak merekodkan perubahan ketara dalam jumlah mahasiswa yang gagal menamatkan pengajian.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Roziah Janor berkata, statistik menunjukkan purata mahasiswa gagal menamatkan pengajian kekal antara 0.05 hingga 0.07 peratus sahaja.

“Seperti yang saya katakan, setiap 1000 pelajar Diploma, hanya enam orang sahaja yang keluar daripada sistem manakala hanya empat daripada 1000 pelajar Ijazah Sarjana Muda yang melakukan perkara tersebut.

“Apabila saya lihat data sebelum ini, pelajar UiTM yang tidak menamatkan pengajian adalah lebih kurang sahaja, iaitu pada 0.05 hingga 0.07 sahaja,” katanya kepada SatuBerita ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau diminta mengulas kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi bahawa terdapat 30,904 pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menamatkan pengajian sepanjang wabak Covid-19.

Dr. Roziah berkata, penggunaan angka atau kuantum dalam pendidikan perlu dilakukan berhati-hati kerana ia mudah disalahtafsirkan.

“Apa yang dikatakan oleh menteri itu memang betul dalam sesetengah konteks, tetapi mungkin disalah erti oleh orang luar yang mengatakan perkara itu teruk kerana mereka tidak lihat jumlah pelajar sehingga 600,000,” katanya.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa kebanyakan pelajar yang tidak menamatkan pengajian adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah (B-40).

“Jangan salah faham, ada juga yang mengatakan pelajar-pelajar gagal ini berkaitan dengan golongan B-40, tidak.

“Saya katakan, tidak ada korelasi antara gagal dan kedudukan ekonomi mereka. Jadi jangan kaitkan pencapaian dan prestasi dengan kedudukan ekonomi mahupun keadaan kewangan mereka,” katanya.

Bagi pensyarah kanan dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff, beliau melihat tindakan tidak menamatkan pengajian memberi implikasi lebih teruk kepada mahasiswa berbanding IPTA sendiri.

“Universiti tetap beroperasi seperti normal, mereka tetap menganugerahkan ijazah kepada mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian, jadi ia tidak memberikan kesan kepada imej dan reputasi akibat bilangan mahasiswa yang tidak bergraduat ini.

“Yang terkesan adalah mahasiswa itu sendiri kerana masa depan mereka terletak pada individu itu sendiri dan bukan terletak pada universiti,” katanya.

Pensyarah Kanan FBMK UPM, Dr Syed Agil Alsagoff

Selain itu, Syed Agil turut berkata pelbagai inisiatif telah diambil pihak universiti bagi membantu mahasiswa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika ada antara mereka yang tidak boleh membayar yuran, pihak universiti boleh menangguhkan pembayaran yuran bagi memastikan pembelajaran mereka tidak terjejas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here