13 lelaki ditahan terlibat curi kenderaan

0
245

POLIS menahan 13 lelaki termasuk seorang warga asing kerana terlibat mencuri kenderaan dan pecah rumah di sekitar Klang dan Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mereka ditahan hasil operasi Op Lejang Khas yang dijalankan selama tiga minggu bermula 1 Julai lepas. 

“Kesemua lelaki berusia 22 hingga 43 tahun itu didapati mempunyai dua hingga tiga rekod lampau atas pelbagai kesalahan seperti mendatangkan kecederaan, curi, curi kenderaan, pecah rumah dan dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Cha berkata polis turut merampas enam motosikal, tiga kereta, sebuah kenderaan pacuan empat roda, satu rangka motosikal, empat enjin motosikal dan peralatan yang digunakan untuk mengubahsuai nombor casis dan enjin kenderaan bernilai kira-kira RM200,000.

Beliau berkata hasil siasatan turut mendapati mereka terdiri daripada beberapa kumpulan sindiket berbeza. 

“Menerusi penahanan dan rampasan ini, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes curi motosikal, empat kes curi kereta dan pacuan empat roda serta satu kes pecah kedai yang melibatkan sembilan kes di daerah Klang Selatan, Shah Alam (dua) dan Klang Utara (satu),” katanya.

Beliau berkata setakat ini tujuh lelaki telah didakwa di Mahkamah Klang dengan empat daripadanya mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi dan dua lelaki didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan berkaitan pemilikan harta.

Lelaki warga negara asing pula didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1963 kerana tidak mempunyai pas untuk memasuki Malaysia. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here