Tiada MoU baharu kerajaan-PH selepas 31 Julai

0
222

TIADA lagi perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) baharu bakal dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai ini.

Memetik laporan BH Online, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kedua-dua pihak terbabit tahun lalu akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, perkara berkenaan dipersetujui beliau selaku wakil kerajaan dengan pemimpin-pemimpin utama pembangkang khususnya PH dalam pertemuan sebelum ini.

“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.

“Kita sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), UMNO sudah buat ketetapan tidak sambung.

“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baru, tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh diteruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau sekali lagi menjelaskan bahawa tarikh 31 Julai yang dirujuk dalam MoU itu adalah mengenai supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, bukannya melambangkan tarikh tamat MoU.

“Tarikh 31 Julai (dalam MoU adalah) tidak boleh mengadakan pilihan raya. Itu yang diperjelas. Dari segi tamat, tidak ada dijelaskan dalam MoU. MoU hanya tamat apabila Parlimen dibubarkan,” katanya.

Ditanya sama ada jangkaan Parlimen dibubarkan selepas rang undang-undang (RUU) pendanaan politik dibentang dan diluluskan di Parlimen, beliau berkata perkara itu juga tidak berbangkit.

“Pilihan Raya Umum (PRU) boleh diadakan bila-bila masa. Tak tergantung kepada mana-manalah. Sampai waktunya, jika saya anggap sesuai untuk dibubarkan, saya bubarkanlah sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) pendanaan parti politik belum boleh dibentang di Parlimen kerana memerlukan kajian terperinci bagi memastikan mekanisme pelaksanaan berkesan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here