Suami isteri dera anak angkat dituduh pagi ini

0
292

SUAMI isteri yang dipercayai mendera anak angkat mereka di kawasan perumahan di Beranang, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya semalam.

Kata beliau, arahan pertuduhan dikeluarkan terhadap lelaki warga Singapura berusia 30 tahun serta isterinya berusia 28 tahun yang juga warga tempatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Ia bagi kesalahan melakukan penganiayaan ke atas mangsa, seorang kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan iaitu jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, kata Mohd. Zaid, lelaki warga Singapura itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan suami isteri ditahan di rumah mereka di Beranang pukul 2.30 pagi pada 22 Julai lalu, selepas menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 12.14 tengah malam, hari sama.

Terdahulu, sebuah rakaman video berdurasi 27 saat yang memaparkan tindakan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun menggunakan penyapu serta penyangkut baju ketika sedang makan, tular di media sosial.

Mohd Zaid dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan berkenaan yang dikatakan hiperaktif tidak suka makan nasi dan pasangan berkenaan didakwa memukul serta memaksanya memakan nasi sehingga termuntah.

Menurutnya, siasatan dilakukan juga mendapati kanak-kanak itu adalah anak wanita warga Indonesia dan kelahirannya tidak pernah didaftarkan serta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here