Kes bayi mati dipercayai didera: Wanita, teman lelaki direman bantu siasatan

0
257

SEORANG wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang disyaki didera dalam satu kejadian di Sungai Siput, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata perintah reman bermula semalam sehingga Isnin depan terhadap wanita bersama teman lelakinya, kedua-duanya berumur 30 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Penahanan terhadap teman lelakinya itu yang merupakan anggota polis luar negeri Perak yang dalam tahanan kerja, dilakukan di Sungai Siput.

“Wanita tersebut merupakan jururawat persendirian dan telah bercerai dengan suaminya enam bulan lepas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Pulau Pangkor di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurutnya, terdapat kesan kecederaan baru dan lama pada tubuh bayi tersebut dan siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca dan tempoh kecederaan. 

Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata polis menerima maklumat berkaitan kematian bayi itu kira-kira 7.15 pagi Isnin lepas semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata 30 pegawai dan anggota termasuk dua orang kakitangan awam ditugaskan di Balai Polis Pulau Pangkor, pulau yang terkenal sebagai pusat pelancongan.

Menurutnya, langkah ini antara lain bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat, pengunjung dan pelancong terus dipertingkatkan dalam menggalakkan sektor pelancongan negara.–Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here