Cuti bersalin ditangguh: Kerajaan seolah ‘anaktirikan’ guru KAFA – iGuru

0
1145

PENANGGUHAN kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seolah menunjukkan kebajikan guru KAFA tidak dijaga dan seperti ‘dianaktirikan’.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, walaupun guru KAFA menyumbang kepada sistem pendidikan negara khususnya memperkasakan Pendidikan Islam, namun masih tiada pembelaan yang wajar.

“Guru kafa tidak dapat pembelaan daripada pihak kerajaan, seolah-olah guru KAFA ini dianaktirikan.

“Seolah-olah kerajaan anaktirikan guru-guru KAFA, mungkin kerajaan paling kurang pun bagi cuti bersalin. Jika tidak dapat cuti selama 60 hari, paling kurang dapat sebulan setengah pun boleh dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Pada Ahad, JAKIM menangguh kemudahan cuti bersalin 60 hari dengan elaun penuh kepada guru KAFA seperti yang diumumkan pada Januari lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang berkata, keputusan dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) harus mencari inisiatif yang sesuai bagi membela nasib guru-guru KAFA.

“Kita nampak guru KAFA tidak dapat pembelaan dengan tugas yang mereka laksanakan. JAKIM harus fikir apa inisiatif untuk memastikan pembelaan guru kafa dijaga.

“Kita dah bertahun, tetapi kedudukan guru KAFA masih diletakkan rendah,” katanya.

Katanya lagi, JAKIM tidak konsisten dalam memperjuangkan isu perjawatan tetap guru KAFA seperti diperjuangkan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diteruskan perjuangan itu ketika pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, guru-guru KAFA tiada penjawatan tetap dan hanya menerima elaun, tetapi jika penjawatan tetap dilaksanakan, maka ia akan menyumbang kepada penaiktarafan kedudukan guru-guru KAFA.

“JAKIM semasa zaman PH dan selepas iaitu PN, telah umum untuk mengkaji mewujudkan perjawatan tetap guru KAFA.

“Jadi saya rasa JAKIM kena berjuang untuk memberi perjawatan tetap guru KAFA dan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Kalau kita kekalkan dalam bentuk elaun, memang mereka tidak mendapat banyak manfaat yang telah diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, khususnya berkaitan dengan cuti bersalin,” tegasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here