Aspirasi Kampung Sejahtera: Komitmen KPLB lestarikan kampung dan pembangunan luar bandar

0
455

KELESTARIAN kampung dan komuniti luar bandar akan terus diperkasa menerusi pelaksanaan program Aspirasi Kampung Sejahtera yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini. 

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata usaha melibatkan kampung, rumah panjang, kampung Orang Asli dan kampung tradisional di seluruh negara itu bertujuan untuk mewujudkan kampung yang mempunyai infrastruktur lengkap dalam pelbagai aspek seperti kemudahan asas, pasaran, kesihatan, pendidikan, modal insan, keusahawanan dan sosial. 

“Aspirasi Kampung Sejahtera ini akan dibangunkan sebagai satu program komprehensif pembangunan sosioekonomi bagi mewujudkan komuniti kampung berdaya tahan, berinisiatif, berdikari, berilmu dan memiliki displin kerja yang tinggi untuk pembangunan kesejahteraan kampung serta menjadi satu tarikan kepada industri pelancongan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Aspirasi Kampung Sejahtera di sini hari ini.

Mahdzir berkata usaha itu juga adalah untuk memastikan ciri-ciri estetika sesebuah kampung meliputi sumber alam seperti sungai, gunung atau air terjun dapat terus dikekalkan dan tidak terjejas dalam apa jua keadaan. 

Mengenai kampung yang masih kekurangan dari aspek pembangunan, beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu juga bertindak sebagai platform untuk mengenal pasti sekali gus menyalurkan peruntukan dalam mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti pembangunan seperti infrastruktur dan capaian internet di luar bandar. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) yang dibuka selama enam bulan bermula April hingga Oktober 2022, Mahdzir berkata KPLB telah mengenal pasti kampung-kampung yang berpotensi diketengahkan dan bersesuaian dengan konteks Aspirasi Kampung Sejahtera. 

“Pertandingan ini terbuka kepada dua kategori iaitu Kampung Tradisional dan Rumah Panjang di bawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dan satu kategori lagi adalah Kampung Orang Asli di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA),” katanya. 

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri I KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB Datuk Hasbi Habibollah, dan Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun.

Sementara itu, mengulas mengenai PAKS, Ketua Setiausaha KPLB Datuk Ramlan Harun berkata sejumlah 126 pencalonan kampung telah diterima daripada dua kategori iaitu 112 buah Kampung Tradisional dan Rumah Panjang yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri, dan 14 pencalonan bagi Kampung Orang Asli dikemukakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). 

Ramlan berkata proses penilaian akan mula dilaksanakan pada pertengahan bulan Ogos dengan kampung yang terpilih sebagai pemenang akan diiktiraf sebagai Kampung Sejahtera. 

Terdahulu, Mahdzir turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Exco Kerajaan Negeri Pembangunan Luar Bandar (MEXCLUB) Kali Ke-54 bagi membincangkan isu berkaitan pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar dan program pengukuhan keselamatan makanan negara di bawah KPLB. 

Beliau juga telah mengumumkan peruntukan khas RM500,000 bagi setiap exco untuk pelaksanaan projek pembangunan di tempat masing-masing. – BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here