Sebut ungkapan lucah, nasib Tajuddin diketahui esok

0
434

Dewan Rakyat akan memutuskan nasib Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selewat-lewatnya esok, berikutan tindakan beliau yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah di Parlimen, minggu lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap isu dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen itu, termasuk memanggil beberapa saksi untuk pengesahan.

Beliau meminta diberi masa kerana baru menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memintanya mengendalikan isu berkenaan.

“Merujuk pada cadangan saya pada ketika (insiden) itu iaitu menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, surat sudah dihantar dan dan saya juga menerima surat itu kerana Yang Dipertua minta saya kendalikannya.

“Saya baru terima surat itu dan kini dalam proses. Sebahagian saksi telah saya aturkan pertemuan dengan mereka.

“Saya akan buat rumusan keseluruhan (selepas selesai proses siasatan) dan berikan jawapannya dalam minggu ini, selewat-lewatnya esok untuk saya buat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin, lapor BH Online

Terdahulu, P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(4) untuk membangkitkan persoalan mengenai Tajuddin yang didakwa ‘mengeluarkan bahasa kurang sopan dan seksis’ dalam sesi sidang Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Kasthuriraani menzahirkan kekecewaan dengan tindakan Mohd Rashid ketika itu yang hanya memberi amaran kepada Tajuddin, sedangkan ada sembilan saksi dalam kalangan Ahli Parlimen mendengar Tajuddin mengungkapkan kata kesat dan lucah itu ketika mikrofon ditutup.

“Jika Timbalan Yang Dipertua tidak menggunakan kerusi, jawatan dan kelebihan itu untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen mulut celupar seperti ini, ia akan jadi duluan yang bahaya dan buruk dalam sejarah Dewan yang mulia ini,” katanya.

Pada masa sama, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menyarankan Mohd Rashid memanggil Bentara bertugas yang berada berhampiran Tajuddin ketika kejadian, untuk membuat pengesahan.

Rabu lalu, Tajuddin didakwa mengeluarkan kata kesat dan lucah berkait dengan kemaluan wanita ketika Dewan Rakyat kecoh semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual.

Kekecohan itu berlaku selepas Tajuddin menggelar beberapa Ahli Parlimen wanita DAP bersikap tidak senonoh ketika cuba membidas dakwaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang menyifatkan Ahli Parlimen veteran UMNO itu kerap membuat kenyataan berbaur seksis kepada Ahli Parlimen wanita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here