Kadar RMT wajar dinaikkan – KKM

0
539

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencadangkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia manakala RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada bagi RMT pada kadar RM2.50 bagi murid di Semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT.

“Ia bukan kesalahan KPM (kerana) peruntukan KPM tidak cukup. Ia juga berikutan peningkatan kos harga bahan mentah dan barangan lain dalam negara,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas merasmikan Hematogenix Malaysia, sebuah makmal penyelidikan klinikal onkologi pusat yang pertama di Malaysia, dekat Cyberjaya pada Jumaat.

Khairy berkata beliau akan mengemukakan syor agar peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Tambah beliau, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lepas, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

Beliau juga berkata KKM akan mencadangkan supaya bantuan RMT terus diberikan kepada kanak-kanak dari kumpulan miskin tegar iaitu seramai 789,902 orang.

Mengenai Hematogenix Malaysia, Khairy berkata ia merupakan makmal bertaraf antarabangsa yang memberi tumpuan pada penyelidikan klinikal terutamanya bidang kanser.

Beliau berkata makmal tersebut memberi satu nilai tambah kepada KKM kerana boleh digunakan bagi tujuan diagnostik dan saringan kanser di Malaysia, selain bertujuan menghantar sampel hasil daripada penyelidikan klinikal yang dijalankan di negara ini.

Hematogenix berpusat di Chicago, Amerika Syarikat dan mempunyai tiga cawangan iaitu di United Kingdom, China dan yang terbaharu di Cyberjaya bagi rantau Asia Pasifik meliputi pasaran Jepun, Australia, New Zealand, dan Korea Selatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here