Inflasi bulan Jun meningkat 3.4% didorong harga makanan

0
319

KADAR inflasi negara yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 3.4% pada Jun tahun ini, didorong oleh kenaikan harga makanan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks makanan meningkat sebanyak 6.1% dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Jun 2022, dengan semua kumpulan lain kecuali komunikasi merekodkan kenaikan.

“Kesemua subkumpulan bagi makanan & minuman bukan alkohol menunjukkan peningkatan antara 2.8% hingga 11.9%, manakala komponen makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat 6.1% dan 6.6%, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5%), nasi berlauk (9.7%), masakan daging (7.8%) dan makanan berasaskan mi (7%).

“Ayam yang mempunyai wajaran terbesar dalam subkumpulan daging (46.1%) meningkat sebanyak 17.2% berbanding peningkatan 13.4% pada Mei.

“Purata harga ayam mentah pada Jun 2022 adalah sebanyak RM10.02 sekilogram berbanding RM8.55 pada Jun 2021.

“Peningkatan harga ayam ini adalah selari dengan kenaikan input pengeluaran makanan dunia seperti jagung (14.8%), gandum (60.9%) dan kacang soya (19.9%) yang merupakan komposisi terbesar penyediaan dedak ayam,” katanya lapor FMT.

Kumpulan pengangkutan turut mencatatkan kenaikan 5.2% diikuti restoran dan hotel (5%); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.2%); serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.2%).

Uzir berkata, peningkatan dalam kumpulan pengangkutan terutamanya disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 sebanyak 80% (RM4.7 seliter) berbanding RM2.65 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Inflasi meningkat 0.6% berbanding Mei 2022 dan peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh pengangkutan, serta restoran dan hotel yang mana kedua-duanya meningkat kepada 1.3%, diikuti oleh makanan dan minuman bukan alkohol (1.2%).

Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Putrajaya (8.1%), diikuti Labuan dan Melaka yang merekodkan peningkatan paling rendah, masing-masing sebanyak 2.5%.

Peningkatan tertinggi inflasi makanan dan minuman bukan alkohol di peringkat negeri pula dicatatkan oleh Putrajaya (8.2%), diikuti Selangor (7.5%), Johor (7.3%), Pulau Pinang (6.8%) dan Perlis (6.1%).

Peningkatan bagi kumpulan ini terutamanya adalah disebabkan oleh kenaikan harga daging dan sayur-sayuran pada Jun 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here