MiLL 2022 sarat elemen ‘Sihat, Seronok dan Rasional’ SekolahKu SEJAHTERA – Radzi

0
350

PERTANDINGAN Malaysian Little League (MiLL) 2022 yang diusahakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) sarat dengan elemen Sihat, Seronok dan Rasional di dalam konsep SekolahKu SEJAHTERA.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Mohd Jidin berkata, MiLL adalah pertandingan liga bola sepak yang julung kali diadakan dengan kerjasama dua kementerian berkenaan.

Katanya, elemen Sihat, Seronok dan Rasional di dalam konsep SekolahKu SEJAHTERA itu sememangnya berkait rapat dalam aktiviti sukan khususnya bola sepak dalam kalangan murid.

“Melalui MiLL 2022 anak-anak secara tidak langsung dapat menghayati dan mempraktikkan nilai-nilai murni selain menunjukkan bakat untuk dibimbing menjadi lebih cemerlang dalam sukan nombor satu negara ini.

“Selamat maju jaya kepada anak-anak yang terlibat dalam pertandingan MiLL 2022. Ambillah peluang ini dan lakukan sehabis baik untuk mempamerkan bakat masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau selepas menghadiri majlis pelancaran MiLL 2022 di Mini Stadium Pancarona, Putrajaya pada Selasa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua kementerian berkenaan.

Menurut beliau, pertandingan yang dilaksana bermula di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan itu bakal berlangsung pada Ogos depan dengan anggaran lebih 50,000 murid sekolah terpilih dari seluruh negara akan terlibat.

Ahmad Faizal berkata liga berkenaan diharap dapat memupuk budaya bersukan sekaligus melahirkan masyarakat yang sihat dan cerdas, selain mencungkil bakat anak-anak Keluarga Malaysia.

“Pada masa sama, MiLL juga mampu memangkin sektor industri sukan negara. Saya yakin, ramai usahawan berkecimpung dalam industri sukan memperoleh manfaat daripada penganjuran MiLL ini,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here