Dewan rakyat kecoh, 3 MP lelaki dilabel seksis

0
307

SIDANG Dewan Rakyat kecoh hari ini gara-gara tindakan Teo Nie Ching (PH-Kulai) menggelarkan tiga Ahli Parlimen lelaki dari Barisan Nasional (BN) sebagai seksis.

Memetik laporan FMT, tiga Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

Kekecohan itu berlaku ketika Nie Ching membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021.

“Sepanjang saya dipilih sebagai seorang Ahli Parlimen pada tahun 2008 sampai sekarang…14 tahun sudah banyak kali kami nampak Ahli Parlimen yang duduk dalam dewan ini membuat kenyataan seksis kebanyakan Ahli Parlimen yang buat kenyataan seksis itu merupakan wakil rakyat sama, saya berani cakap di sini antara mereka termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan, Baling dan Pasir Salak,” katanya.

Beliau juga membangkitkan, sekiranya RUU tersebut diluluskan, adakah ia memberi jaminan kenyataan seksis membabitkan wakil rakyat tidak lagi berulang.

“Saya nak tahu selepas RUU Antigangguan Seksual ini diluluskan adakah kami akan nampak perbezaan berlaku dalam dewan ini, sekarang kita nak wujudkan satu tribunal, tetapi saya nak tahu selepas kita wujud tribunal…bolehkah kita bawa Ahli Parlimen ke tribunal atau mereka akan terus menikmati imuniti,” katanya.

Abdul Azeez seterusnya bangkit mencelah mempertahankan dirinya dengan menyifatkan kenyataan seksis berlaku berpunca daripada wakil rakyat wanita yang mengeluarkan kenyataan kesat sehingga menimbulkan ketegangan di Parlimen.

“Saya nak beritahu juga kepada Kulai ia ada sebab, kalau ada Ahli Parlimen wanita yang panggil speaker barua itu macam mana? Kalau mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat yang kasar…jadi kita rasa marah masa itu, itu sebab kita balas balik kepada wakil tersebut,” katanya.

Kenyataan Abdul Azeez itu menimbulkan rasa tidak puas hati Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) sehingga berlaku perang mulut, termasuk dengan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

“Kenapa Batu Kawan marah saya tak sebut nama awak pun, makan cili ke? Kenapa Batu Kawan (tiba-tiba) bangun, provokasi,” kata Abdul Azeez.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here