Kastam rampas bahagian haiwan liar RM80 juta, terbesar dalam sejarah

0
337

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengagalkan cubaan menyeludup pelbagai bahagian badan haiwan liar termasuk gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling dan taring harimau bernilai kira-kira RM80 juta yang disorok di belakang timbunan kayu bergergaji dalam sebuah kontena, 10 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata kontena dengan muatan barangan itu dikesan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, dan ia merupakan rampasan terbesar pernah dicatatkan JKDM yang membabitkan bahagian haiwan liar.

Katanya antara rampasan terbesar yang pernah dilakukan JKDM sebelum ini adalah pada 2014 yang melibatkan kulit tenggiling bernilai RM40 juta, dan pada 2012 yang melibatkan gading gajah bernilai RM2.4 juta.

“Kontena yang dipercayai berasal dari negara di Afrika itu sepatutnya berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor untuk dialihkan ke kapal lain, namun selepas kita mendapat maklumat berkenaan penyeludupan, kita bertindak menahan kontena itu di Pelabuhan Barat,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan fizikal ke atas kontena berkenaan membawa kepada penemuan gading gajah dianggarkan seberat 6,000 kilogram (kg);  tanduk badak sumbu 29 kg; sisik tenggiling 100 kg, tanduk haiwan 14kg dan tengkorak serta tulang haiwan 300kg, disorok di belakang timbunan kayu bergergaji.

Zazuli berkata pihaknya percaya Malaysia telah dijadikan sebagai negara transit sebelum barangan itu dibawa ke negara lain untuk dipasarkan. 

Katanya semua barang berkenaan adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara. 

Beliau berkata tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan siasatan ke atas pengimport dan ejen perkapalan masih dijalankan. 

Zazuli berkata kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here