UMNO sedia patuh keputusan RoS jika usul tangguh pemilihan ditolak

0
257

UMNO akan patuh kepada arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sekiranya jabatan itu memutuskan perlu mengadakan pemilihan parti pada hujung tahun ini, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut laporan BH Online, Timbalan Presiden UMNO itu dilaporkan berkata sekiranya permohonan pindaan Perlembagaan untuk menangguhkan pemilihan tidak diluluskan, mereka akan mengadakan pemilihan berkenaan seiring mesyuarat dijadualkan pada hujung November.

“Jika RoS tidak luluskan, mesyuarat juga akan diadakan seperti dijadualkan dan akan ada pemilihan jawatan di semua peringkat iaitu cawangan, bahagian dan pusat,” jelas Mohamad.

Terdahulu, RoS memaklumkan keputusan mengenai pindaan perlembagaan parti bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan adalah pada 16 Julai.

Mei lalu, Perhimpunan Agung Khas UMNO sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Usul pindaan itu yang membabitkan Fasal 10.16, Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 terdahulu dibentangkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di hadapan 2,586 perwakilan.

Notis pindaan perlembagaan itu kemudiannya dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Rabu memberi jaminan bahawa sebarang keputusan RoS dibuat secara bebas.

Malah, Ahli Parlimen Larut itu juga menegaskan beliau tidak mengetahui mengenai keputusan permohonan pindaan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here