Persatuan gesa mekanisme harga bulanan petrol, diesel dilaksana

0
342

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) menggesa Putrajaya agar mempertimbangkan mekanisme penetapan harga runcit petroleum secara bulanan berbanding secara mingguan ketika ini.

Presidennya, Datuk Khairul Anuar Abdul Aziz, berkata kaedah harga mingguan menyebabkan lebih 50% pengusaha stesen minyak ketika ini terpaksa beroperasi dalam kerugian atau sekadar ‘cukup makan’.

Katanya, perkara ini berikutan pengusaha terpaksa menanggung kos operasi tinggi susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan kenaikan tarif elektrik.

Tidak cukup dengan itu, mengikut kaedah penetapan yang dilaksanakan kini, keuntungan pengusaha minyak tidak berubah pada kadar 15 sen seliter.

“Mekanisme penetapan harga secara bulanan lebih stabil bagi pengusaha.

“Kalau harga mingguan, tak sempat kami nak habiskan stok (dibeli pada harga tinggi) dah turun harga lagi, jadi kami rugi banyak. 50-60% pengusaha sekarang memang sakit kerana margin kurang,” katanya, lapor FMT.

Selain itu, Khairul Annuar turut menyangkal persepsi masyarakat yang melihat perusahaan itu mampu memberi pulangan besar apabila harga jualan yang ditetapkan adalah berdasarkan kerajaan.

“Pandangan orang luar selalu menganggap harga minyak naik, kami untung besar. Tidak sama sekali, kerana pendapatan kami bergantung kepada kuantiti yang kami jual dan kerajaan sudah tetapkan pengusaha dibenar mengambil keuntungan 15 sen saja bagi setiap liter,” katanya.

Jelasnya lagi, secara dasarnya, apabila harga minyak tinggi, pengusaha stesen minyak memerlukan kos yang besar untuk membeli produk petroleum.

Dari segi pengguna pula, mereka akan mengurangkan penggunaan sekali gus menyebabkan kemerosotan pendapatan pengusaha.

“Bila harga RON97 tinggi, jualan produk itu turun 90% kerana ramai pengguna termasuk orang kaya raya beralih kepada RON95 yang disubsidi kerajaan.

“Sebab itu, kalau kita tengok trend jualan di stesen minyak seluruh negara, ia memang menunjukkan peningkatan mendadak bagi RON95 tetapi penjualan RON97 pula terlalu sikit, tak dapat tampung kos (operasi) pun sampaikan ada pengusaha terpaksa tutup lampu, kurangkan pekerja,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah menetapkan harga siling bagi RON95 ketika ini ialah RM2.05 manakala harga diesel dan RON97 diapungkan mengikut harga pasaran.

Mengikut harga terkini, harga jualan petrol RON97 menurun sebanyak 5 sen kepada RM4.75 seliter sementara diesel dijual pada RM2.15 seliter bermula 14 Julai hingga 20 Julai ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here