[VIDEO] Logo baharu Perikatan Nasional lonjak keyakinan, elak kekeliruan – Penganalisis

0
518

SEBARANG perubahan pada logo Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja mampu memberikan kekuatan baharu kepada gabungan tersebut, malah berupaya mengelak kekeliruan yang boleh merugikan.

Mengambil contoh perubahan warna, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata langkah itu cara terbaik mengelakkan kekeliruan dengan warna Barisan Nasional (BN) dalam kalangan pengundi.

“Pengundi sekarang ni mereka keliru, sebab apabila kita sendiri lihat warna dan logo PN dengan BN hampir sama.

“Mungkin atas sebab tersebut, itu yang menyebabkan Perikatan Nasional ni cuba untuk mengubah (warna dan logo) bagi mencari satu identiti baru,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Jumaat.

Rusdi yakin, perubahan signifikan yang cuba ditonjolkan menerusi imej baharu ini mampu menjadi satu daya tarikan.

“Apa yang PN cuba untuk lakukan itu adalah salah satu strategi untuk menarik perhatian pengundi-pengundi untuk meningkatkan kebolehan mereka,” katanya.

Beliau menambah, meskipun terdapat kekeliruan dalam kalangan pengundi mengenai nama kedua-dua perikatan itu, Rusdi tidak melihat PN akan bertindak untuk mengubah nama parti.

Dalam pada itu, Rusdi turut melihat jentera serta organisasi PN perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pengundi dapat menerima logo dan warna baharu mereka.

“Melalui perubahan logo dan warna itu, mungkin juga ia boleh menambah keyakinan penyokong dan oleh itu, saya nampak itu sebagai satu langkah yang wajar dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here