Pemulihan sektor logistik perlu diperkukuh – Muhyiddin

0
468

PEMULIHAN sektor logistik pascapandemik COVID-19 perlu diperkukuh untuk memastikan kedudukan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat perdagangan antarabangsa.

Bukan itu sahaja, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia juga kerana sektor berkenaan mempunyai peluang untuk berkembang maju dan memberi manfaat besar kepada ekonomi negara termasuk dari segi menyediakan peluang pekerjaan.

“Dengan langkah-langkah strategik dan kerjasama padu antara Kerajaan dan pihak swasta, saya optimis bahawa sektor ini bukan sahaja akan terus pulih, tetapi akan berkembang pesat dan mengatasi pencapaian prapandemik dengan cemerlang, insya-Allah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Jumaat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang bagi melihat situasi pemulihan sektor logistik pascapandemik COVID-19. Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin

Bekas Perdana Menteri itu mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Klang bagi melihat situasi pemulihan sektor logistik pascapandemik COVID-19.

Lawatan itu turut disertai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong; Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob; serta barisan kepimpinan Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang dan Westports Malaysia. 

Dalam pada itu katanya, lawatan itu susulan mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif MPN bersama pengendali pelabuhan-pelabuhan utama negara berkenaan isu-isu yang dihadapi akibat pandemik COVID-19.

Tambah beliau, melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjadi panduan bagi pembukaan sektor ekonomi dan sosial secara selamat dan teratur, pelabuhan negara masih dapat beroperasi dengan gangguan yang minimum. 

“Malahan, lebih 10,000 pekerja di Pelabuhan Klang telah berjaya divaksinasi dengan dalam tempoh seminggu melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam Swasta (PIKAS) yang diselenggarakan bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Namun katanya, sektor ini masih terdedah kepada kesan pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan geopolitik antarabangsa.

Terdapat penyusutan pada bulan Mac 2022 bagi pengendalian kontena (11.9%) dan jumlah kargo (8.7%) berbanding bulan Mac 2021 di pelabuhan-pelabuhan utama negara.

“Mesyuarat MPN akan membincangkan serta mengemukakan syor penambahbaikan kepada Kerajaan. 

“Pemulihan sektor ini perlu diberi perhatian serius memandangkan 90 peratus kargo Malaysia dikendalikan melalui sektor perkapalan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here