Kongres AMK kecoh, petugas halang ahli masuk

0
386

KONGRES Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Shah Alam hari ini dicemari dengan insiden kekecohan apabila beberapa ahli sayap tersebut dihalang masuk untuk mewakili cabang mereka.

Memetik laporan Malaysiakini, difahamkan, perang mulut tercetus kira-kira pukul 10 pagi, sebaik sahaja kongres sayap tersebut bermula.

Salah seorang ahli AMK yang terlibat, Danish Hairudin ketika dihubungi Malaysiakini berkata sekretariat kongres hanya membenarkan 75 cabang AMK untuk menghantar perwakilan mereka.

Keputusan itu didakwa atas dasar cabang tersebut gagal membuat mesyuarat agung tahunan (AGM) atau tidak menghantar laporan mereka kepada sekretariat.

“Tapi ini kesilapan kepimpinan sebelumnya di cabang terlibat. Mereka yang tidak membuat AGM.

“Barisan kepimpinan baharu tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana mereka baru saja dipilih dalam pemilihan baru-baru ini,” katanya.

Ahli AMK Cabang Kota Raja itu mendakwa, sekatan itu juga melanggar perlembagaan parti, yang memberi hak kepada pemimpin cabang untuk menghadiri kongres kebangsaan.

“Perlembagaan parti menjamin hak pemimpin peringkat cabang yang dipilih untuk hadir ke kongres parti. Tiada peruntukan yang menyatakan pemimpin peringkat cabang boleh dihalang kerana kepimpinan sebelumnya tidak membuat AGM,” tambahnya.

Mengulas perkara itu, Setiausaha AMK, Syukri Razab berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul.

Menurut beliau, ahli-ahli tersebut dihalang masuk ke dewan kongres kerana mereka bukan perwakilan.

Untuk menjadi perwakilan, katanya, ada dua syarat yang perlu dipenuhi.

“Pertama, cabang mesti buat AGM dengan cukup korum dan hantar laporan. Korum mesti cukup dan laporan perlu ada semua tandatangan.

“Kedua, cabang mesti ikut proses pemilihan secara sempurna. Perlu ada sekurang-kurangnya lapan pencalonan (untuk semua jawatan peringkat cabang) – ketua, timbalan, naib ketua dan lima ahli jawatankuasa.

“Apa yang berlaku tadi, mereka hanya mematuhi syarat kedua,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Syukri berkata AGM perlu diadakan kerana dalam mesyuarat itu, cabang akan memberi mandat kepada barisan kepimpinan baharu untuk menjadi wakil di kongres kebangsaan.

Memetik laporan FMT, Syukri berkata, AMK turut mengehadkan kapasiti dewan yang hanya boleh memuatkan hanya 400 perwakilan, berbanding 675 yang layak hadir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here