Kes kembali hampir 4,000, sembilan kematian

0
222

MALAYSIA kembali merekodkan lebih 3,000 kes semalam dengan sebanyak 3,934 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di negara ini meningkat kepada 4,604,670 kes.

Menerusi laman web COVIDNOW, jumlah kes baharu itu membabitkan 3,927 kes penularan tempatan dengan tujuh lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan hingga kini terdapat 36,894 kes masih aktif. Daripada jumlah yang dinyatakan itu, 96.3 peratus atau 35,547 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta 26 individu lagi bersamaan 0.1 peratus berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Selain itu sebanyak 1,268 kes atau 3.4 peratus sedang dirawat di hospital manakala 23 individu (0.1 peratus) berada di unit rawatan rapi (ICU) dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan serta 30 individu lagi berada di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kadar penggunaan ICU di seluruh negara kini berada paras 60.6 peratus dan terdapat lapan negeri yang merekodkan kadar penggunaan ICU melebihi 60 peratus.

Negeri paling tinggi dengan penggunaan ICU ialah Kelantan dengan 79.7 peratus, disusuli Selangor (77.2 peratus), Kedah (74.7 peratus), Putrajaya (70 peratus), masing-masing 65.2 peratus di Sabah dan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (61.2 peratus) dan Johor (60.3 peratus).

Dalam pada itu, terdapat sejumlah sembilan kematian dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah angka korban akibat jangkitan COVID-19 adalah sebanyak 35,828 kes.

Angka korban itu termasuk dua kes yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Turut dilaporkan ialah 2,747 kes pulih di negara ini, ia menjadikan sehingga kini jumlah kes sembuh meningkat kepada 4,531,948 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here