Penipuan haji: Suami isteri tak sedap hati lihat kelibat ‘penipu’ semasa kursus

0
281

SEPASANG suami isteri yang menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji furada baru-baru ini berasa tidak sedap hati apabila terlihat seorang individu yang pernah dikaitkan dengan beberapa kes penipuan dalam satu kursus haji.

Sangkaan wanita yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Aida’ dan suaminya itu terbukti benar apabila dia dan 380 individu lain terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah gagal berlepas ke Arab Saudi Khamis lalu.

“Suami saya sudah beri amaran pada ejen supaya berhati-hati (dengan individu terbabit).”

“Tapi, bos (ejen) cakap ‘tak apa (individu itu) dah cuci tangan, kali ini dia nak buat benda yang betul’. Jadi mereka (ejen-ejen) bagi dia peluang,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Aida menambah, dia dan suami sudah merasakan ratusan peserta haji yang menunggu di KLIA sejak 28 Jun sudah menjadi mangsa penipuan apabila terima khabar penerbangan ke Mekah ditunda berkali-kali, akhirnya sehingga 7 Julai, berikutan masalah visa.

“Asyik tangguh-tangguh, akhirnya orang mula mogok. Akhirnya ‘kantoi’ apabila polis keluarkan kenyataan sebenarnya memang tiada langsung (syarikat) tempah sebuah kapal terbang (untuk ke Mekah).

“Visa ‘furada’ sebenarnya langsung tak wujud. Pemprosesan visa itu langsung tidak ada sebab (syarikat) tidak berdaftar bawah Tabung Haji,” katanya, merujuk kepada visa yang membolehkan agensi pelancongan membawa jemaah haji tanpa melalui Tabung Haji.

Aida nampak kesedihan dalam kalangan peserta haji ketika menghantar suaminya ke lapangan terbang.

“Saya tak sampai hati melihat (jemaah). Lelaki semua dah pakai ihram, perempuan semua dah sedia. Mereka tahu mereka sudah kena tipu, tapi tak tahu nak buat apa? Arah mana? Lepas ini nak buat apa? Yang mereka tahu hanya buat laporan polis sahaja,” keluhnya.

Aida berharap, tindakan yang lebih berkesan daripada pihak berkuasa ke atas mereka yang didapati bersalah agar kes tidak berulang.

“Saya tak nak dia terlepas. Sebab tahun depan kita takut dia tukar nama (syarikat), buat modus operandi yang sama,” katanya.

Setakat ini, lima individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tipu tawaran pakej haji dan visa yang tidak wujud membabitkan hampir 400 bakal jemaah terkandas di KLIA, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan malam tadi berkata ,kesemua suspek warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 50 tahun itu ditahan setelah polis menerima 18 laporan kes penipuan pakej haji melibatkan kerugian RM683,500 setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here