MAIWP nafi terlibat dalam isu jemaah haji terkandas di KLIA

0
270

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menafikan terlibat dalam isu melibatkan lebih kurang 400 jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam tadi.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Daud Bakar berkata demikian kerana terdapat logo melibatkan anak syarikatnya, iaitu MAIWP Healthcare Sdn. Bhd. pada salah satu banner yang tular dalam media sosial semalam.

Jelasnya, tidak ada kaitan dengan MAIWP dan MAIWP Healthcare adalah anak syarikat iaitu sebagai vendor sahaja.

“Mereka (agensi berkenaan) menggunakan khidmat MAIWP Healthcare untuk menyediakan alat perubatan seperti demam, selesema, dan sebagainya di sana dan saya difahamkan telah dibayar kepada pihak MAIWP Healthcare.

“Pihak MAIWP turut kesal dengan apa yang berlaku terhadap bakal jemaah haji tersebut selain menegaskan MAIWP dan anak syarikatnya itu bukanlah pihak yang berperanan dalam menguruskan jemaah haji,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengagihan Manfaat Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy MAIWP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd. Daud menambah, anak syarikatnya itu hanya berperanan sebagai kontraktor berasingan dalam menyediakan bahan perubatan di tanah suci Mekah.

“Kita kesal dengan apa yang berlaku dan kita harap pihak yang bertanggungjawab mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku dan ini bukan urusan MAIWP kerana MAIWP hanya melihat kepada isu agama, sosial ekonomi islam,” katanya.

Terdahulu, lebih kurang 400 jemaah Haji terkandas di KLIA dan kesemua mereka dipercayai berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here