Bersatu optimis, tak goyah walaupun ada nama besar keluar parti, kata Wan Saiful

0
197

BERSATU optimis dengan masa depannya dan tidak goyah, walaupun terdapat beberapa nama besar meninggalkan parti itu sejak Mei lalu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengakui Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi meninggalkan parti itu adalah kerugian kepada Bersatu.

Tetapi, beliau mendakwa keahlian Bersatu semakin bertambah dari semasa ke semasa dan setakat ini mereka mempunyai 800,000 ahli di seluruh negara.

“Ini menunjukkan ada sambutan yang baik kepada Bersatu. Bagi saya ini satu perkembangan positif.

“Tak dinafikan ada nama-nama tertentu yang telah isytihar keluar parti dan bagi saya ini proses biasa dalam demokrasi. Masing-masing bebas membuat keputusan, nak keluar atau masuk dalam mana-mana parti,” katanya dalam temubual bersama FMT.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar Bersatu dan kemudian menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Ia disusuli Mohamaddin yang juga ADUN Segama meninggalkan Bersatu pada 28 Jun lalu dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Sebelum ini, terdapat desas-desus Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon akan meninggalkan Bersatu, tetapi kedua-dua pemimpin itu menafikannya.

Pada 20 Jun lalu pula, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin memohon menyertai parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Katanya, beliau tidak menyertai mana-mana parti, tetapi hanya “dipakirkan” dalam Bersatu untuk menyokong kerajaan sedia ada.

Wan Saiful mengakui Bersatu dalam proses muhasabah untuk melihat kembali punca pemimpin terbabit keluar parti.

Beliau berkata, sekiranya tindakan itu disebabkan ketamakan, ia adalah langkah pembersihan dan jika sebaliknya, Bersatu perlu membaiki kelemahan yang ada.

Wan Saiful percaya parti itu masih mempunyai masa depan yang cerah, walaupun selepas kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ini kerana, katanya, Bersatu baru ditubuhkan lima tahun dan Perikatan Nasional (PN) yang baru berusia dua tahun lebih sudah dapat menjadi kerajaan.

“Bersatu bantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Yang mengejutkan, kita kekal sebagai parti memimpin kerajaan selepas bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan.

“Untuk parti berusia lima tahun, ini pencapaian di luar jangka. (Walaupun kalah), realitinya (kami) menerima sokongan memberangsangkan dalam PRN Melaka dan Johor,” ujarnya.

Katanya, beliau tidak bimbang dengan kekalahan PN dan Bersatu dalam PRN Melaka serta Johor kerana yang penting ialah mereka dalam proses memperkukuhkan parti.

“Kekalahan dalam dua PRN itu adalah perkara biasa. Lihat sejarah PKR dan PAS, mereka juga perlukan masa yang lama untuk mendapatkan bilangan Ahli Parlimen yang sihat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here