Kalwant Singh gagal rayuan, jalani hukuman gantung pada 7 Julai

0
255

MAHKAMAH Rayuan Singapura pada Rabu menolak rayuan terakhir warga Malaysia, Kalwant Singh, yang menyebabkan beliau bakal berdepan hukuman gantung sampai mata yang dijadualkan pada Khamis ini.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya Too Xing Ji dari BMS Law LLC yang memberitahu mengenai keputusan mahkamah itu di Singapura pada Rabu, lapor BH Online.

Kalwant, 32, sebelum ini dijatuhkan hukuman mati pada 1 Jun 2016 atas kesalahan mengedar dadah.

Xing Ji berkata, sabitan dan hukuman dikekalkan Mahkamah Rayuan pada tahun sama dan berdasarkan keputusan hari ini, pelaksanaan hukuman akan dijalankan mengikut jadual.

Kalwant yang berasal dari Cameron Highlands, Pahang, ditahan di Singapura pada 24 Oktober 2013 dan disabitkan kesalahan memiliki 60.15 gram diamorphine serta mengedar 120.9 gram dadah jenis itu.

Kalwant memfailkan usul kepada Mahkamah Rayuan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman dan semakan terhadap sabitan serta hukumannya.

Permohonan penangguhan hukumannya didengar Ketua Hakim, Sundaresh Menon; Hakim Andrew Phang Boon Leong dan Hakim Tay Yong Kwang melalui platform Zoom.

Xing Ji berkata, walaupun perbicaraan dijalankan secara maya, mahkamah penuh sesak dan ahli keluarga Kalwant turut hadir.

Sebelum ini, pada 27 April lalu, seorang lagi warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam turut menjalani hukuman mati kerana mengedar heroin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here