[VIDEO] Rumah panjang persis banglo mewah

0
1412

SEBUT sahaja rumah panjang, rata-rata masyarakat di negara ini pasti membayangkan reka bentuk rumah kayu bersambung bagi memuatkan sekumpulan penduduk setempat yang terletak di kawasan pedalaman Sarawak.

Namun, rumah tradisi Bumi Kenyalang itu kini telah melalui revolusi reka bentuk luaran dan dalaman seiring peredaran zaman yang semakin maju dan moden.

Terbaharu, satu video memaparkan suasana sebuah rumah panjang yang tampak cantik dan mewah seperti banglo menarik perhatian netizen di media sosial sehingga mencapai 1.7 juta tontonan setakat ini.

Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna, @omara86 di laman TikTok itu, dapat dilihat ruang tamu rumah panjang berkenaan yang luas dilengkapi perabot serta lampu ‘chandelier’ yang kelihatan mewah.

Malah, rumah panjang berkenaan turut dilengkapi pintu kaca sebagai akses untuk ke ruangan berbeza selain suasana meriah kunjungan jiran tetangga yang menambah keunikan rumah tersebut.

@omara86

This is iban long house yoooo!!!! TR Changgai @ Ulu Sah Niah, Miri

♬ original sound – omara – omara

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen tergamam dan tidak menyangka rekaan dalaman rumah Panjang itu persis rumah banglo.

“Rumah mereka lagi besar dari kebanyakan rumah kat semenanjung,” luah @fakhrultakaful.

“Selama ini saya tahu rumah panjang sememangnya besar, tapi ini sudah seperti rumah agam. Tertanya berapa ramai keluarga yang boleh muat dalam rumah ini,” ujar @ayla.

“Saya pergi Kuching pada 2019 terkejut lihat rumah panjang tidak seperti dahulu.Sekarang siap ada pendingin hawa. Kagum..,” ujar seorang lagi pengguna @amusedcake.

Lebih menarik, pemilik video memaklumkan, rumah panjang cantik itu terletak di Ulu Sah Niah, Miri, Sarawak dan mempunyai sebanyak 110 buah rumah yang didiami keluarga berbeza dibawah satu bumbung.

Katanya, dia merakam video rumah tersebut ketika bertugas sebagai juruvideo bagi majlis kahwin salah sebuah keluarga yang menetap di rumah panjang sama pada Sabtu lalu. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here