Agong berkenan terima kunjungan Azmin di hospital

0
193

YANG Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima ziarah daripada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di hospital, semalam.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Al-Sultan Abdullah kelihatan ceria, cergas dan sihat ketika sesi menghadap.

“Tatkala menghadap, Baginda menzahirkan titah nasihat tentang usaha-usaha untuk terus meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara.

“Sesungguhnya, Tuanku amat prihatin terhadap perkembangan ekonomi global dan menitahkan supaya MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan agensi berusaha gigih bagi menarik pelaburan-pelaburan berkualiti yang dapat mencipta pekerjaan untuk rakyat.

“Titah Tuanku akan patik junjung di atas batu jemala patik,” lapor Astro Awani.

“Patik dan pentadbiran MITI serta agensi-agensi akan terus bekerja dengan sedaya upaya demi membawa pembangunan yang lestari dan unggul ke seantero negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merafak sembah ucapan terima kasih buat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mengambilkan gambar kenangan beliau bersama Al-Sultan Abdullah.

Baginda sebelum ini dilaporkan menjalani pemeriksaan pakar perubatan di sebuah hospital kerana gering di bahagian kaki dan menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut pada 20 Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here