Tiada visa furada untuk jemaah haji sejak 2019

0
221

ARAB Saudi masih tidak mengeluarkan visa furada kepada jemaah haji sejak 2019.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata masih belum ada visa furada yang dikeluarkan tahun ini.

“Visa furada adalah visa jemputan, di mana ia berdasarkan budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada sesiapa yang dijemput duta sendiri, namun visa furada bukanlah diberi khas kepada syarikat komersial tetapi bergantung kepada keadaan.

“Selalunya, visa ini adalah atas budi bicara duta Arab Saudi untuk diberikan kepada individu tertentu seperti ketua kerajaan atau mana-mana badan atau institusi yang dikenali oleh kedutaan Arab Saudi.”

“Bilangan visa yang diluluskan juga terletak kepada budi bicara duta Arab Saudi sendiri,” katanya, lapor BH Online.

Beliau mengakui ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan penipuan menggunakan nama visa berkenaan.

“Visa furada ini ada, namun yang palsunya adalah orang atau sesebuah agensi yang menawarkan visa furada untuk menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat ini, sedangkan duta Arab Saudi sehingga kini masih belum mengeluarkannya,”

“Kebaikan yang diperoleh melalui visa furada bagi membantu golongan yang mahu menunaikan haji dalam kadar segera dengan tidak perlu menunggu giliran mengikut kuota haji yang disediakan oleh Tabung Haji (TH).

“Sesetengah orang yang mendapat duit hasil jual tanah atau duit pencen, bila ada kemampuan duit nak terus menunaikan ibadah (dengan cepat). Kalau nak tunggu giliran Tabung Haji mungkin ambil masa yang agak lama,” katanya.

Beliau meminta umat Islam di Malaysia yang berminat untuk menunaikan ibadah haji supaya lebih berhati-hati dan sabar menunggu keputusan sebenar visa furada dikeluarkan.

“Kalau ada sesiapa yang betul-betul berminat dan mampu, Insya-Allah jika visa furada sudah dikeluarkan di Malaysia, boleh pergi tetapi sekarang masih belum ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here