[VIDEO] Segera baiki fasiliti MRT, LRT

0
321

KEMUDAHAN fasiliti pengangkutan awam Transit Aliran Deras (MRT) yang tidak diselenggara menyukarkan perjalanan harian pengguna terutama ke tempat kerja masing-masing.

Tinjauan SatuBerita di sekitar stesen MRT Sungai Buloh, Selangor,mendapati rata-rata pengguna mengeluh dan kecewa terhadap kemudahan yang tidak diperbaiki sehingga menyusahkan mereka.

Seorang pengguna pengangkutan awam, Zuhair Nazarudin, 22, meminta pihak bertanggungjawab untuk memperbaiki masalah eskalator di kawasan Phileo Damansara, Selangor, kerana menjadi punca kesesakan.

“Saya perasan kebanyakan MRT di kawasan lain seperti di eskalator Phileo Damansara, perlu menggunakan lif berbanding eskelator.

“Masalah ini sudah berlarutan selama empat bulan. Apabila hanya lift beroperasi, ia menyukarkan pengguna seperti kami yang perlu tunggu dan mengambil masa,” katanya.

Pelajar, Lim Ern, 17, yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari berkongsi pandangannya mengenai kerosakan eskalator dan keadaan fasiliti yang semakin teruk saban hari.

“Eskalator sepatutnya ditambah baik lagi kerana terdapat golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas memerlukan fasiliti ini.

“Jalan untuk ke sini perlu dibaik pulih kerana agak memakan masa untuk bas tiba. Stesen tidak diselenggara dengan baik di sesetengah kawasan dan membuatkan orang ramai sangat sukar untuk menunggu bas,” jelasnya

Selain itu, seorang pesara, Ariffin Mat Nor, 73, berkata, lif yang sepatutnya memudahkan golongan warga emas dan OKU sentiasa tidak berfungsi.

“Pastikan perkhidmatan lif sentiasa dan berfungsi dengan baik terutamanya untuk golongan OKU dan warga emas. Saya tiada masalah tetapi mungkin golongan lain sangat memerlukan fasiliti ini.

Dalam pada itu seorang lagi pengguna pengangkutan awam, Amalina Jafri, 27, menyifatkan tambang percuma yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Jun lalu seperti tidak berbaloi kerana jumlah subsidi RM155 juta itu boleh digunakan untuk membaik pulih fasiliti sedia ada.

“Tak berbaloi pun kalau percuma satu bulan sebab jumlah itu boleh digunakan untuk perbaiki segala fasiliti di sini seperti eskalator rosak dan bumbung bocor,” katanya.
Dia juga merasakan subsidi tersebut boleh digunakan untuk program seperti My50 yang banyak membantu pengguna sepertinya.

Bagi Naimah Nordin,56, tiada pengumuman pertukaran laluan menyebabkan dia bingung dan menghadapi kesukaran setiap kali menaiki perkhidmatan itu.


“Perlu beritahu jika ada laluan baharu sebab bukan semua orang tahu. Misalnya laluan Sungai Buloh ke Kajang. Tiba-tiba sahaja berhenti di laluan Damansara. Sekurang-kurangnya letak papan tanda atau kain rentang.


“Aspek penyebaran maklumat penting kepada pengguna sekiranya terdapat pertukaran laluan baharu.Kakitangan juga perlu peka dengan keadaan penumpang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here