KENAIKAN tarif elektrik dijangka bakal dikenakan kepada rakyat akibat permintaan tenaga melonjak disebabkan gangguan bekalan bahan api serta kekurangan minyak, gas dan arang batu di peringkat global.
Menerusi tinjauan SatuBerita di sekitar Lembah Klang mendapati, rata-rata pengguna berharap kerajaan menangguhkan dahulu hasrat itu dan fokus mencari jalan terhadap kenaikan inflasi yang tidak terkawal.
Khairul Ashraf, 26 berkata, dia risau akan kenaikan tarif elektrik kerana negara baru sahaja memasuki fasa endemik dan rakyat masih mencuba untuk menyesuaikan diri ditambah isu kenaikan harga barang yang agak melampau.
“Saya berpendapat, isu ini akan lebih membebankan rakyat yang sudah sedia terbeban kerana rakyat baru sahaja mahu stabil akibat Covid-19.
“Tanpa sebarang ‘amaran’ semua barang keperluan naik secara mendadak. Rakyat baru mahu ‘hadam’tiba-tiba berita kenaikan tarif elektrik pula menyusul,” katanya.
Pelajar, Irsalina Sharol Munawar, 20, meluahkan subsidi bersasar berkemungkinan memberi kesan kepada dirinya Bersama rakan di rumah sewa kerana proses pembayaran elektrik akan bertambah rumit.
“Ada kawan saya tergolong dalam kumpulan B40 dan agak susah (untuk membayar) jika bil elektrik naik kerana mereka perlu berjimat. Isu ini juga tidak wajar kerana selepas pendemik, ekonomi tidak stabil,”katanya.
Tambah mahasiswi itu, golongan pelajar akan menghadapi kesukaran untuk membayar lebih kerana mempunyai komitmen yang lebih mustahak.
Bagi Alia Maisarah Kamalizan, 26 pula menyifatkan subsidi bersasar itu tidak wajar kerana secara tidak langsung akan menaikkan harga barang secara drastik.
“Pada jurang ekonomi sekarang, tidak wajar kerana harga barang akan meningkat secara tidak terkawal dan mengakibatkan orang ramai terkesan terutamanya golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Sementara itu, Azli Sastero, 42, berpandangan subsidi bersasar akan memberikan impak jangka masa panjang dan mengakibatkan rantaian bekalan terganggu kerana elektrik penting bagi menjalankan perniagaan.
“Dalam jangka masa panjang akan mengakibatkan rantaian bekalan kerana aliran elektrik diperlukan bagi menyelenggara bahan sebelum tiba ke tangan pengguna,” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.