Anifah Aman terkejut, nafi terima wang UKSB

0
342

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan menerima sebarang wang daripada Ultra Kinrara Sdn Bhd (UKSB) serta menegaskan beliau tidak pernah berjumpa dengan bekas Pengurusan Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun.

Anifah juga terkejut dengan keterangan Siong Sun dan kemudiannya memaklumkan bahawa dirinya bersedia untuk membantu siasatan yang akan dijalankan pihak berkuasa bagi membersihkan namanya, lapor Utusan Malaysia.

“Sebagai Menteri Luar, saya berjumpa dengan ramai orang. Seingat saya, tidak pernah jumpa David Tan atau menerima sebarang wang daripadanya mahupun UKSB.

“Saya tidak mengetahui siapa mereka dan saya tidak pernah berurusan dengan mereka dalam apa perkara sekali pun,” katanya dalam kenyataan.

Perkara itu merujuk kepada laporan berita sebelum ini yang membabitkan namanya menerusi keterangan Siong Sun selaku saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara nama lain yang juga disebut ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menerima kira-kira RM1.3 juta daripada UKSB selaku syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN)

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu dalam reaksi balasnya menafikan kenyataan saksi pendakwaan terbabit iaitu Siong Sun.

Malah, prosiding tersebut turut menamakan tiga anggota Kabinet seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan seorang lagi bekas menteri iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Susulan pendedahan itu, SPRM dalam reaksi segera memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang didakwa menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here