42 maut, jutaan terkandas akibat banjir buruk di Bangladesh, India

0
315

SEKURANG-kurangnya 25 maut manakala berjuta penduduk lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka berikutan banjir teruk yang melanda Bangladesh.

Di Assam, India pula, sekurang-kurangnya 17 terkorban berikutan musibah banjir yang bermula awal bulan Jun, lapor polis pada Ahad, menurut laporan dikeluarkan Astro AWANI.

Ketua Pusat Ramalan Banjir dan Amaran Bangladesh, Arifuzzaman Bhuiyan berkata kebanyakan sungai di negara itu telah melepasi paras bahaya.

Oleh itu, ribuan anggota polis dan tentera telah dikerahkan ke beberapa kawasan di negera itu bagi membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terlibat.

Setakat ini, lebih 3.1 juta penduduk terkandas dan 200,000 mangsa telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Di timur laut Sylhet, Bangladesh, ribuan mangsa banjir mencari perlindungan di pusat pemindahan sementara kerana banjir dan sungai yang melimpah telah menyebabkan kerosakan teruk di ladang dan harta benda.

Banjir itu juga telah menyebabkan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Osmani, Bangladesh digantung dan Lebuhraya Sylhet Sunamganj dinaiki air.

Bangladesh, sebuah negara berpenduduk 160 juta orang berada di kawasan rendah dan menghadapi ancaman bencana alam seperti banjir dan taufan, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Menurut panel antara kerajaan PBB mengenai perubahan iklim, kira-kira 17 peratus rakyat di Bangladesh perlu dipindahkan dalam tempoh sedekad yang akan datang jika pemanasan global berterusan pada kadar sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here