‘Jangan lepas bagi tambang percuma, naik tambang pula’, sindir netizen terhadap pengumuman tambang percuma sebulan oleh PM

0
520

PENGUMUMAN tambang percuma bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendalian Rapid KL oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis nampaknya diterima sinis kebanyakan pengguna.

Tinjauan SatuBerita di laman-laman komen hantaran berkaitan berita tersebut mendapati ramai netizen menempelak pengumuman itu yang disifatkan hanya gula-gula bagi mengurangkan kemarahan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya, mereka berpendapat Perdana Menteri sepatutnya mengumumkan penyelesaian tuntas terhadap pelbagai masalah berkaitan pengangkutan awam daripada kesesakan di stesen dan dalam tren, sehingga kelewatan tren yang menganggu perjalanan harian rakyat bawahan yang bergantung kepada pengangkutan awam.

Pengguna Facebook, Kevin Leong berkata, tambang percuma bukan satu perkara yang diharapkan pengguna.

“Baiki yang kerosakan, tingkatkan perkhidmatan supaya lebih baik sepatutnya. Banyak benda yang rosak, tetapi tidak ada pihak yang menyelenggara pun,” katanya.

Safwan Suboh pula berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan penyelesaian jangka masa panjang kepada masalah yang kerap berulang.

“Sepatutnya (mereka) tambah baik, bukannya beri inisiatif bersifat jangka pendek sementera seperti ini. Rakyat mahukan satu inisiatif bersifat jangka masa panjang,” ujarnya.

Aizad Dzulfakar pula dalam reaksi sinisnya berkata, selepas ini semakin ramai orang naik tren.

“Bagus, ketika orang ramai memberikan aduan mengenai masalah tren lambat, tidak ikut jadual, rosak dan sebagainya, dia pula bagi percuma sebulan,” ujarnya.

Di laman Twitter keadaan sama berlaku apabila ramai netizen mempersoalkan kewajaran langkah pemberian tambang percuma itu.

Pemilik akaun @aaron16denison berkata, pemberian tambang sebulan percuma mungkin akan mengurangkan sedikit suhu aduan para pengguna.

“Namun, ini adalah tindakan jangka pendek. Apa guna kalau percuma sekiranya perkhidmatan masih lagi tidak memuaskan,” soalnya.

@HannZiq juga melihat masalah kelewatan dan infrastruktur tidak dibaik pulih yang semakin meruncing sepatutnya diberikan perhatian bagi menyelesaikan masalah dihadapi pengguna.

“Rakyat marah dengan khidmat LRT dan MRT, mereka boleh pula bagi percuma sebulan. Masalah lewat dan infrastruktur tidak dibaiki masih belum diselesaikan.

“Lebih parah, nanti MRT dan RapidKL mengadu tidak cukup duit sebab dah bagi free,” katanya.

Hal ini turut dipersetujui @Noelts1 yang berpendapat kerajaan dan pihak pengurusan sepatutnya mencari jalan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Rakyat mahu kerajaan cari solusi yang memudahkan, bukan minta untuk dapat percuma.

“Selepas tamat tempoh sebulan, kesusahan bagi pengguna MRT dan RapidKL masih tidak selesai walaupun dengan tambang percuma. Lebih menakutkan sekiranya tambang bertambah pula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here