‘Perjuangan Bersatu adalah jati diri saya’ – Azmin

0
352

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menolak desas-desus kononnya beliau akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan menegaskan bahawa idealisme dan prinsip perjuangan Bersatu adalah jati dirinya.

Serentak dengan itu beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, mengajak seluruh anggota parti itu untuk terus bergerak sederap membangunkan sebuah Kerajaan yang bersih, telus dan berintegriti.

Tegas Ahli Parlimen Gombak itu, Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa.

Tambahnya, idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya amat menghargai dan berterima kasih di atas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap iltizam dan komitmen saya bersama Bersatu sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan.

“Walhasil, Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau menambah, kebijakan yang mesra perniagaan pula telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik.

Di peringkat parti tambah Azmin, Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.

“Bersatu juga komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat.

“Sesungguhnya, Bersatu wadah unggul untuk rakyat Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here