Isu loji sembelihan Australia tidak jejas bekalan daging Aidiladha

0
416

Isu penggantungan kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu, khususnya untuk sambutan Aidiladha.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata perkara ini melihat kepada permintaan lembu hidup yang tinggi bagi aktiviti korban sempena perayaan itu, lapor Astro AWANI.

“Masalah (terjejas) bekalan tidak timbul kerana selalunya kalau (daging) permintaan tinggi pada musim perayaan Aidilfitri, (manakala) Aidiladha orang tunggu lembu hidup.

“Jadi, in shaa Allah tidak ada isu dan (bekalan daging terjejas) pun ditampung oleh tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di Johor Bahru, malam Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai sekiranya penggantungan kelulusan loji sembelihan itu akan menjejaskan bekalan daging ketika Aidiladha atau sebaliknya.

Selain itu, ketika ditanya mengenai status penggantungan, Idris berkata perkara itu masih dalam proses siasatan.
14 Mei lepas, dilaporkan bahawa kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) pada 13 Mei lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here