Bukit Aman siasat video warga asing sokong ahli politik India hina Nabi Muhammad

0
321

POLIS menjalankan siasatan penularan rakaman video menerusi aplikasi Tik Tok memaparkan tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di hadapan kuil Batu Caves menyatakan sokongan kepada ahli politik parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma, yang menghina Nabi Muhammad, di India, lapor portal FMT.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya ada menerima laporan berhubung tindakan tersebut.

“Video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves dan menyokong perjuangan Hindu Samachar serta ahli politik dari parti Bharatiya Janata, Nupur Sharma, yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Rakaman video berdurasi 1 minit 18 saat itu yang memperoleh 16,000 tontonan, 53 tanda suka dan 302 komen tular melalui pelbagai aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp,” katanya dalam kenyataan.

Jalil berkata, siasatan kini dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan dan mungkin mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Jalil berkata, siasatan masih diteruskan dan polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Katanya, polis turut menasihatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here