Jabatan Peguam Negara bantah peguam UK wakili Najib dalam kes rayuan SRC

0
358

JABATAN Peguam Negara membantah permohonan Jonathan Laidlaw, peguam berpangkalan di United Kingdom untuk diterima masuk di mahkamah di Kuala Lumpur bagi membolehkan dia berhujah dalam rayuan terakhir kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pendakwaan SRC International, berkata Laidlaw – seorang peguam diraja tidak mempunyai pengalaman dalam menjalankan perbicaraan jenayah atau rayuan yang melibatkan undang-undang Malaysia.

Ini termasuk melibatkan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram atau Amla.

Najib menghadapi 7 pertuduhan – satu di bawah Seksyen 23, tiga pertuduhan untuk jenayah pecah amanah dan tiga untuk pengubahan wang haram melibatkan lebih RM42 juta dana milik SRC International, yang ditemui dalam akaunnya.

 “Pemohon (Laidlaw) tidak begitu mahir dengan undang-undang yang terlibat dalam kes rayuan yang belum selesai dan tidak mempunyai sebarang pengalaman dengan sistem perundangan negara.

“Agak pelik untuk beliau berhujah bahawa tiada peguam tempatan untuk mempertahankan tujuh pertuduhan yang dihadapi (Najib) termasuk peguam utama Shafee Abdullah dan pasukan itu membelanya dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan untuk kes ini serta permohonan interlokutori lain selama tiga tahun lalu,” kata Ashrof dalam afidavit Jabatan Peguam Negara untuk menentang pengakuan ‘ad hoc’ Laidlaw, lapor portal FMT.

Peguam itu memfailkan petisyen untuk diterima secara ‘ad hoc’ di Mahkamah Tinggi bulan lalu bagi mendapat kebenarannya berhujah kes Najib dalam SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Dalam petisyennya, Laidlaw berkata, SRC International melibatkan “isu serius, kompleks dan baharu yang berkaitan dengan beberapa cabang undang-undang jenayah dan sivil”.

“Bagi tujuan rayuan, pemohon (Laidlaw) memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di sini”.

Mahkamah Persekutuan dijadual mendengar rayuan Najib selama 10 hari dari 15 hingga 26 Ogos.

Selain itu, AGC berhujah bahawa Laidlaw tidak mengetahui bahasa Melayu, seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 11(2) Akta Profesion Undang-undang.

“Oleh itu pemohon bukanlah orang yang layak untuk diterima masuk,” kata Ashrof.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula petisyen Laidlaw.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta. Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here