2 maut, 3 cedera kenderaan pacuan empat roda rempuh tiang jejantas

0
314

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DUA maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas dan melanggar tiang jejantas di susur masuk ke Taman Damansara Aliff di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Taman Perling di Johor Bahru hari ini.

Mangsa yang maut Charles Anak Singgai, 24, dan Rizky Ahmad Hua Abdullah, 35, manakala mangsa mengalami kecederaan Douglas Anak Martin, 29, Kareno Anak Esang, 39 dan Andy Mieky Anak Bunyah, 22.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Wan Nor Affendi Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada pukul 6.39 pagi.

“Susulan itu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan kekuatan sembilan anggota dari BBP Tebrau dan BBP Kempas dikejarkan ke tempat kejadian

“Pasukan penyelamat mendapati berlaku kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang terbabas dan merempuh tiang jejantas berkenaan.

“Lima lelaki terbabit dalam kemalangan berkenaan termasuk tiga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sementara dua mangsa lagi maut di tempat kejadian termasuk tersepit di bahagian penumpang dan seorang mangsa dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat sebelum menyerahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata operasi tersebut selesai pada pukul 7.55 pagi.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here