Tuntutan insurans RM911,000 ribu, 4 ditahan reka cerita palsu

0
388

Polis menahan empat suspek yang didakwa membuat laporan palsu demi menuntut wang insurans berjumlah tiga bilion rupiah (RM911,000) di Desa Muspika Sari, Indonesia.

Lapor Utusan Malaysia, Wahyu Suhada, 35 bersama tiga rakan yang lain Abdul Mulki, 37, Dena Surya, 25 dan Asep Riak, 35, membuat cerita palsu seolah-olah mereka mengalami kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Metro Bekasi, Gidion Arif Setyawan berkata, mereka berempat merancang senario kemalangan dan laporan palsu demi mendapatkan tuntutan kemalangan insurans nyawa.

Tegasnya, Wahyu yang merupakan dalang di sebalik tuntutan palsu itu merancang dirinya dilanggar Fortuner ketika membawa motosikal sebelum tercampak ke sungai Kalimalang.

“Kita dapati Wahyu tidak hilang di sungai itu dan dimasukkan dalam daftar pencarian orang (DPO).

“Sehingga 5 Jun lalu, Wahyu masih hidup dan berada di sebuah tempat, namun belum dapat dipastikan lokasinya,” katanya.

Gidion berkata, cerita rekaan itu bermula apabila Wahyu bersama Abdul melintas semasa sekatan jalan di kampung itu.

Jelasnya, semasa melintas jalan itu mereka berpura-pura dilanggar sebuah kereta dan Abdul terjun sendiri ke dalam sungai.

Pada masa yang sama, Wahyu melarikan diri dengan kereta dan meninggalkan lokasi kejadian.

Selepas itu, dua suspek lain bertindak menjadi saksi dan membuat laporan polis mengenai kemalangan palsu tersebut.

“Selepas menerima laporan itu dan kita tidak berjaya menemukan Wahyu di dalam sungai, pihak polis mula berasa sangsi dengan laporan tersebut.

“Hasil penyiasatan mendapati kejadian kemalangan itu sebenarnya direka sendiri oleh Wahyu,” ujarnya.

Menurut Gidion, kesemua suspek akhirnya mengaku membuat laporan palsu mengenai orang hilang dan lemas di sungai tersebut, bagi tujuan mendapatkan tuntutan faedah kematian bagi insurans nyawa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here