KEWUJUDAN butik barangan cenderamata dan konsert Search Rockin’ on Rooftop pada 11 Jun ini seolah memberi nyawa kepada Kompleks Campbell yang agak suram beberapa tahun kebelakangan ini.
Kompleks Campbell yang sebelum ini sinonim bagi peminat muzik rock untuk berkumpul dan menyertai konsert gig sekitar tahun 80-an, mula ‘riuh’ kembali dengan kehadiran kumpulan Search.
Pembantu kedai Passo Karat yang telah beroperasi sekitar 15 tahun di kompleks berkenaan, Marzuki Daus, 56 berkata kewujudan butik cenderamata Search Rock Station disifatkan memberi cahaya kepada kompleks itu yang kian meriah.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Konsert Search di Kompleks Campbell sarat kejutan
“Mana-mana tempat pun selepas Covid-19 memang ada masalah tersendiri. Tapi, dengan adanya Search Rock Station di Campbell ia beri impak yang bagus,terutama golongan peminat muzik rock era 80-an.
“Search boleh dikatakan pencetus untuk kembali mengadakan konsert di kompleks ini. Mungkin kumpulan rock lain juga akan ikut jejak mereka dan memeriahkan lagi suasana di sini apatah lagi Search adalah satu nama besar dan perintis kepada arena rock Malaysia,” katanya ketika ditemui SatuBerita baru-baru ini.

Bagi pemilik kedai Spyder-45, Redwan Mohd, 48 berkata, dia gembira apabila kompleks berkenaan kembali menjadi tumpuan selain dapat pelanggan baharu.
“Semakin ramai pengunjung yang datang bila Search nak buat konsert di sini. Kadang-kadang pelanggan yang saya tak pernah nampak pun ada. Ada yang datang daripada luar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Saya harap lebih banyak lagi kumpulan rock atau apa sahaja jenis genre yang datang meriahkan lagi suasana di sini,” ujarnya.

Redwan yang juga peminat tegar gandingan adik-beradik Din dan Kid Search mengakui sudah tidak sabar untuk kembali menonton idolanya selepas sekian lama.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Ella cukupkan ‘rencah’ konsert Rockin’ on Rooftop Search
Sementara itu, pemilik kedai Cambell Music atau lebih dikenali sebagai ‘Kedai Auntie Rock’, Chai Swee Khyun, 62 berkata, Search Rock Station yang menghidupkan kembali Kompleks Campbell memberi harapan buat kompleks penuh nostalgia itu.
“Kompleks ini sudah lama dan tua. Kewujudan Search Rock Station ini kita boleh nampak pengunjung turut mengunjungi kedai-kedai lain. Ini memberi satu harapan baharu untuk masa depan Kompleks Campbell.
“Tempat ini penuh nostalgia. Boleh dikatakan ini tempat legenda. Kalau sebut sahaja genre rock, orang akan sentiasa fikirkan Kompleks Campbell,” katanya.

Bagi pemilik kedai pakaian terpakai Bozco Vintage, Syafiq Azahar, 33 berkata, mereka yang sebelum ini tidak tahu akan kewujudan Kompleks Campbell bakal jatuh cinta dengan keunikan kompleks penuh nostalgia ini.
“Untuk konsert kali ini dijangka 2,500 orang pengunjung akan hadir. Kemungkinan besar dalam angka itu ada yang baharu pertama kali menjejakkan kaki di sini.
“Antara tujuan kumpulan Search buka kedai mereka di sini adalah untuk hidupkan kembali kompleks ini sebagai satu tempat untuk mereka yang suka genre rock. Pengurusan kompleks juga aktif mempromosikan tempat ini yang secara tidak langsung menjadikan tempat ini dikenali kembali ,” katanya.

Pengunjung, Mohd Izar Abu Zarim, 55 berkata, dirinya teruja apabila Search Rock Station mendorong dirinya untuk kembali ke kompleks yang disifatkan penuh nostalgia buat dirinya.
“Saya memang peminat Search dari album pertama lagi. Bila saya dapat tahu Search buka kedai di sini, saya datang sebab memang sudah lama nantikan konsert kumpulan legenda rock ini,”katanya.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] ‘Kami sudah ada chemistry’ – Din Search ulas prestasi Denden
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.