Umat elak dinasihat tidak sertai Bon Odori, bimbang jatuh syirik

0
381

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan umat Islam mengelak daripada menyertai festival Bon Odori kerana dibimbangi akan terjatuh ke dalam dosa syirik kepada Allah SWT.

Menurut beliau, festival itu yang ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang dibimbangi boleh membawa kepada syirik.

Malah jelasnya, di dalam Islam cara mengingati ahli keluarga adalah dengan mendoakan kesejahteraan bagi roh-roh mereka agar dirahmati oleh Allah SWT serta diampunkan segala dosa mereka.

Tambah beliau, waris mereka yang sudah meninggal dunia juga disarankan supaya selalu membaca ayat-ayat suci al-Quran dan bersedekah dengan diniatkan pahala segala amalan baik itu sampai kepada arwah ahli keluarga yang telah berpindah ke alam abadi.

“Cara memperingati roh nenek moyang dengan menari, memuja roh mereka dan sebagainya tidak digalakkan di dalam Islam.

WAN SALIM

“Maka, saya ingin menasihatkan umat Islam agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiyah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, menggesa umat Islam supaya tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama Bon Odori yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor pada Sabtu hadapan.

Selain di Shah Alam, festival itu juga dijadualkan berlangsung di Padang Kota Lama, Georgetown pada 30 Julai depan bermula pukul 5 petang hingga 11 malam.

Difahamkan, aktiviti itu yang merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here