‘PRU14 saya menang besar…buat apa takut’ – Nazri bidas Nur Jazlan

0
438

AHLI Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz membidas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa beliau penakut apabila tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dengan segera.

Nazri yang pernah menjadi Menteri bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Najib Razak menyifatkan, hujah Nur Jazlan tidak logik.

“Beliau kata saya tidak mahu PRU diawalkan sebab saya takut. Kalau tengok sejarah PRU14 waktu tsunami pilihan raya, UMNO di peringkat paling rendah sekali di mata rakyat. Saya berani lawan jadi calon dan saya menang dengan majoriti bertambah di Padang Rengas.

“Berdasarkan kenyataannya (Nur Jazlan) bahawa suasana sedang elok, baik buat cepat PRU, (sepatutnya) saya menang besar. Buat apa takut?,’’ katanya lapor FMT.

Semalam, Nur Jazlan meminta Nazri, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak lagi “bercakap” kerana tidak menyumbang kepada kebaikan parti susulan keengganan mereka menyokong pembubaran Parlimen lebih awal bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Nur Jazlan yang kalah dalam PRU-14 di Parlimen Pulai menggambarkan ketiga-tiga mereka sebagai “penakut”, selain hanya mahu menjaga “tembolok” sendiri.

Nazri turut juga menafikan tuduhan Nur Jazlan bahawa beliau takut kehilangan gaji.

“Saya tiada gaji tetapi hanya elaun (sebagai wakil rakyat) yang saya tak sentuh untuk diri saya. (Juga) peruntukan diberikan untuk digunakan buat rakyat. Saya bukan ada gaji dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau menteri,” katanya.

Nazri berkata, beliau tidak setuju PRU15 diadakan awal kerana ia akan memakan belanja yang banyak.

“Duit itu baik guna bantu rakyat daripada adakan pilihan raya yang tak perlu sekarang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here