Banjir di gurun, satu PPS ditutup

0
193

SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Surau Kampung Sungai Bongkok yang menempatkan seramai 291 mangsa banjir di Gurun dekat Sungai Petani ditutup 8.30 pada pagi Jumaat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata kesemua mangsa terdiri daripada 70 keluarga yang ditempatkan di PPS itu sejak semalam, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Hanya satu lagi PPS iaitu Masjid Pekan Gurun yang dibuka pada 12.29 tengah hari semalam, masih lagi beroperasi dan menempatkan 619 mangsa daripada 149 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan data semasa, sebanyak 14 kawasan iaitu 11 kampung dan tiga taman perumahan terjejas dalam kejadian banjir yang berlaku kira-kira 4 pagi semalam.

Antara kampung terlibat termasuk Kampung Sungai Ibor, Kampung Belakang Mahkamah Gurun, Kampung Jelatang, Kampung Batu 5, Kampung Sungai Badak, Kampung Sungai Bongkok, Kampung Guar Nenas, Kampung Kepala Bukit, Kampung Batu 21, Kampung Masjid Lama Pekan Atap dan Kampung Pulau Cengal.

Azahar berkata tiga taman perumahan terlibat adalah Taman Gurun Jaya, Taman Gurun Indah dan Taman Sri Jerai.

“Sebelum ini, 910 mangsa banjir terdiri daripada 219 keluarga ditempatkan di dua PPS, namun kini hanya tinggal 619 mangsa daripada 149 keluarga di PPS Masjid Pekan Gurun,” katanya.

Beberapa kawasan di sekitar Gurun dilanda banjir kira-kira 4 pagi semalam ekoran hujan lebat berterusan selama lebih tiga jam.—Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here