Lebih 50 rumah dilanda banjir kilat di Gurun

0
481

SEBANYAK 54 rumah dilanda banjir kilat di Taman Gurun Jaya dan Kampung Ibor, Gurun berikutan hujan lebat selama tiga jam sejak awal pagi tadi.

Hujan lebat itu menyebabkan berlaku limpahan air sungai sehingga menjejaskan penduduk yang kebanyakannya sedang tidur, menurut laporan BH Online.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohammad Ehsan Mohd Zain berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat pada jam 4.35 pagi.

Katanya, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan BBP Yang digerakkan ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja pemantauan sekali gus membantu mereka yang terjejas.

“Paras air didapati naik kira-kira 0.3 meter di kawasan Taman Gurun Jaya menyebabkan empat rumah terjejas, manakala di Kampung Ibor pula air naik sehingga 0.9 meter menjejaskan 50 rumah penduduk,” katanya.

Berikutan panggilan itu, operasi memindahkan 10 orang mangsa telah dilakukan terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak.

Di Kampong Ibor pula, operasi menyelamat telah berjaya memindahkan 14 mangsa membabitkan tiga lelaki, empat wanita dan enam kanak-kanak.

Menurut Ehsan, kesemua mangsa telah dibawa ke tempat selamat iaitu di rumah keluarga berhampiran berikutan tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here