Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Didakwa pandu van sekolah lawan arus, warga emas mengaku tidak salah -

Didakwa pandu van sekolah lawan arus, warga emas mengaku tidak salah

SEORANG pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan di Manjung, Perak tiga minggu lalu.

Sinar Harian melaporkan M Raman, 74, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memandu van sekolah jenis Isuzu secara melulu dengan melawan arus di hadapan sebuah premis kenderaan terpakai di Jalan Lumut-Sitiawan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang jam 7.15 malam pada 11 Mei lepas dan telah dirakam oleh pemilik akaun TikTok blackhyppo_7.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

Seseorang yang disabit di bawah Seksyen ini akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Norafida Leman manakala tertuduh diwakili Peguam S Dharmanathan.

Mahkamah turut menetapkan 20 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kejadian sekitar jam 7.15 malam 11 Mei lalu berlaku semasa pemandu tersebut sedang membawa lapan orang pelajar berusia 13 hingga 14 tahun.

Hasil siasatan awal, lelaki terbabit mengaku bahawa van tersebut dipandu dalam keadaan tergesa-gesa kerana hendak menghantar pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari sekolah.

Kejadian itu tular menerusi satu video berdurasi 19 saat di aplikasi TikTok memaparkan sebuah van sekolah berwarna kuning dipandu secara berbahaya dan melawan arus.