Top Glove didenda RM50,000, tanggal meter Syabas

0
402

MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap syarikat pengeluar sarung tangan, Top Glove Sdn Bhd atas dua pertuduhan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Perundangan Subsidiari Akta berkenaan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan memaklumkan syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) didenda masing-masing RM30,000 dan RM20,000 bagi kesalahan menggunakan peranti iaitu ‘Electromagnetic Flowmeter’ yang tidak standard, dan menanggalkan meter yang dipasang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tanpa kebenaran.

Menurut kenyataan itu yang dilaporkan Harian Metro hari ini, syarikat berkenaan melakukan kedua-dua kesalahan terbabit pada 28 Mei 2019 di premis di Jalan Teratai, Batu 5, off Jalan Meru, Kapar.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira penghujahan Pegawai Pendakwa SPAN Suhaidariah Ahmad dan mitigasi daripada peguam bela OKS, Mohd Khairul Azri Mohd Badroldin.

OKS diwakili Pengurus Pembuatan syarikat, Foong Hua Yeang Anthony.

“Kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 129 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] iaitu seseorang yang menggunakan apa-apa peranti yang tidak standard yang dia mempunyai alasan untuk mempercayai adalah peranti yang tidak standard untuk digunakan bagi tujuan memasang peranti itu.

“Jika disabit kesalahan boleh dihukum mengikut subseksyen yang sama iaitu tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“OKS juga didakwa mengikut Subkaedah 73(3) Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014 iaitu seseorang yang menanggalkan meter yang dipasang oleh pemegang lesen pengagihan air tanpa kebenaran, melakukan suatu kesalahan, dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah subkaedah yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya,” tulis kenyataan itu.

Dalam pada itu, menerusi pendakwaan itu SPAN turut berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan penggiat industri air dan orang awam tentang tanggungjawab untuk mematuhi peruntukkan-peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan perundangan subsidiari di bawah Akta tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here